CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sabtu, 24 Oktober 2009

BERTEMU BERPISAH KERANA ALLAH...

















Pertemuan antara kita,

Tidak pernah dirancang,
Tetapi telah diatur kemas oleh Rabbul Jalil,
Yang mengetahui suara hati antara kita,
Yang mengimpikan kehadiran seorang insan,
Bergelar teman...

Walaupun bukan aku yang diharapkan,
Tetapi akulah yang hadir dalam hidupmu,
Mungkin kehadiranku tidak pernah dinanti,
Namun, Tiada walau secalit kekecewaan,
Apatah lagi kekesalan di hati ini,
Malah, Aku amat menghargai pertemuan ini,
Kerana dengannya,
Terjalinlah sebuah persahabatan...

Perpisahan...
ternyata amat menyakitkan,
Sering kali mengundang air mata,
Keindahan dan kebahagiaan yang kita nikmati bersama,
Bagaikan disentap pergi serta-merta,

Walaupun begitu, Ingatlah, sahabatku........,
Bertemu dan berpisahnya kita kerana Allah,
Oleh itu, Terimalah dengan penuh keredhaan...

Sekiranya ingatanmu singgah padaku,
Kirimlah sepotong doa tika itu,
Moga masih ada lagi pertemuan selepas ini,
Jika tidak di dunia fana ini,
Di Jannatul Firdaus yang kekal abadi...
Insya-Allah!!!

Selasa, 6 Oktober 2009

Dasar martabat BM, perkukuh BI

Rangka pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) kini hampir siap, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan akan mengumumkan dasar tersebut tidak lama lagi bertujuan mengukuhkan penguasaan kedua-dua bahasa itu.

''Kita berharap dengan usaha baru ini (MBMMBI), maka sistem pendidikan kebangsaan akan menjadi lebih menarik dan lebih kukuh.

''Ia juga berupaya untuk meningkatkan penguasaan dalam semua ilmu tidak terkecuali untuk kita mempertingkatkan kecekapan dalam bahasa Inggeris di samping mengukuhkan dan memartabatkan bahasa Malaysia," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, dasar MBMMBI seiring dengan matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang menjadikan usaha memartabatkan bahasa Malaysia sebagai teras pertama program membina negara bangsa.

Pada satu soalan mengenai usaha menarik semua kaum menghantar anak ke sekolah kebangsaan (SK), beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar kerajaan adalah mengutamakan sekolah tersebut.

Bagaimanapun, jelasnya, sekolah jenis kebangsaan (SJK) tidak dipinggirkan kerana ia terbentuk hasil toleransi semua kaum.

''Apa pun sistem kebangsaan kita adalah sekolah yang menggunakan bahasa pengantarnya bahasa Malaysia. Jadi, kita telah melaksanakan beberapa dasar pelajaran kebangsaan dan dasar bahasa kebangsaan kita," ujarnya.

Isnin, 5 Oktober 2009

Kita penentu hala tuju bahasa Melayu...

Pelbagai forum, seminar dan persidangan mengenai bahasa Melayu telah diadakan bagi membincangkan untung rugi bahasa ini.

Terbaharu, Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Johor Bahru minggu lalu.

Namun, nasib bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan negara ini masih begitu juga. Malah, dilihat semakin goyah.

Meskipun dipanggil bahasa Malaysia tetapi sebahagian besar rakyat negara ini masih menganggap bahasa itu milik orang Melayu sahaja.

Buktinya, apabila perbualan melibatkan orang Melayu dengan bukan Melayu atau sesama orang bukan Melayu, ia kerap berlaku dalam bahasa Inggeris.

Mengapa hal ini terjadi walhal bahasa Inggeris bukan milik kaum Cina atau India di negara ini?

Dalam masa yang sama, lihatlah juga kain rentang mengenai kegiatan anjuran pertubuhan atau badan bukan kerajaan termasuklah di universiti-universiti serta sesetengah parti komponen Barisan Nasional sendiri.

Jarang benar sekarang kita lihat iklan atau kenyataan dalam bahasa Mandarin atau Tamil memiliki terjemahan bahasa kebangsaan di atasnya. Lihat sahaja logo parti Makkal Sakhti.

Hakikatnya, kita sendiri iaitu 27 juta rakyat Malaysia sebenarnya yang menentukan hala tuju bahasa Melayu pada masa depan.

Kita harus rasa 'berdosa' jika sewenang-wenangnya mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan kehidupan hari.

Hanya dengan itulah kerisauan mengenai masa depan bahasa Melayu dapat diatasi.

Selagi wujud rasa rendah diri apabila menggunakan bahasa Melayu selagi itulah pemikiran kita masih belum merdeka sepenuhnya.

Ini kerana sikap, tindakan atau keputusan yang meminggirkan bahasa kebangsaan samalah seperti kita 'memenggal kepala' bangsa Malaysia kita sendiri.

Sebaliknya, segenap lapisan kaum negara ini perlu memiliki jiwa besar dalam mengutamakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, komunikasi, pentadbiran, penyiaran, percetakan dan dalam urusan berkaitan hubungan diplomatik.

Semua pihak harus berusaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa bagi merealisasikan hasrat murni Satu Malaysia.

Sabtu, 3 Oktober 2009

Menjadikan bahasa Melayu bahasa dunia

PERSIDANGAN Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru selama tiga hari dan berakhir Rabu lalu, menyemarakkan lagi keyakinan untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa dunia suatu hari nanti.

Pada masa ini terdapat lebih kurang 6,000 bahasa yang masih digunakan tetapi hanya 20 bahasa yang bertaraf bahasa rasmi yang penuturnya berjumlah lebih 50 juta orang. Dan bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu.

Jika dicampur pengguna bahasa itu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura serta di negara lain maka jumlah penuturnya adalah hampir 300 juta orang, menjadikannya sebagai bahasa kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris (lebih kurang 1.4 bilion penutur), Mandarin (1 bilion penutur), Hindi dan Urdu (700 juta penutur) dan Sepanyol (lebih 300 juta penutur).

Namun begitu, bukanlah bilangan jumlah penutur semata-mata yang sepatutnya dijadikan ukuran sebaliknya terdapat ciri-ciri lain yang perlu dipenuhi untuk melayakkannya dipanggil bahasa dunia.

Apatah lagi, bahasa Melayu tidak terlepas daripada melalui pelbagai cabaran, hambatan dan krisis keyakinan hingga pada satu tahap ia cuba diperkecil dan dipinggirkan akibat putaran ganas politik, sosial dan ekonomi.

Tokoh bahasa dan budaya, Datuk Dr. Hassan Ahmad memberi pandangan cukup menarik terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu agar menjadi bahasa dunia kerana jumlah penutur bahasa tidak begitu penting tetapi apa yang penting ialah pengaruh bahasa itu untuk memajukan sesuatu bangsa.

Beliau berkata, sejarah menunjukkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa apabila pemerintah zaman dahulu terutama raja dan sultan tetap tegas menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan. Ia termasuk dalam soal diplomatik antara pedagang atau kuasa asing seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Perancis.

Melalui bukti-bukti kukuh antaranya dalam Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang dan Hikayat Raja Pasai antara abad ke-14 hingga ke-17 jelas menunjukkan pemerintah tidak berkompromi dalam soal bahasa.

Mengambil iktibar dalam aspek ini, kerajaan yang menjadi pemerintah kini perlu memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong usaha pengembangan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sememangnya berpotensi untuk muncul sebagai bahasa utama dunia dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi jika semua pihak bersungguh-sungguh memastikan impian itu menjadi kenyataan.

Persidangan yang dihadiri 410 peserta membabitkan pembentangan 16 kertas kerja itu menunjukkan suara optimistik untuk menggerakkan usaha ke arah itu.

Bagaimanapun, ia tidak sepatutnya terhenti sekadar dalam persidangan sahaja sebaliknya resolusi yang mengandungi tiga perkara yang dikemukakan perlu diusahakan dengan berkesan.

Tidak keterlaluan jika dicadangkan agar persidangan berkenaan perlu diadakan lagi pada masa depan dengan penyertaannya turut membabitkan orang politik dan pemimpin kerajaan berkaitan.

Ia bagi memastikan golongan yang terlibat dengan penggubalan dasar kerajaan memahami hasrat dan pandangan ahli akademik dan tokoh bahasa dalam persidangan berkenaan.

Lebih-lebih lagi, jika dilihat tiga perkara dalam resolusi itu separuh daripadanya adalah mendesak kerajaan melakukan sesuatu untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia.

Khamis, 1 Oktober 2009

saya punya...















Saya punya AYAH hebat
Waktu Duka Datang Mengubat

Saya punya IBU tercinta
Pengubat Rindu Penawar Lara

Saya punya Abang Berjaya
Sering Membantu Bila Diminta

Saya punya KAKAK jelita
Cukup Mesra Menghimpun Cerita

Adik bongsu kesayangan semua
Hilai Tawanya Tambah Ceria

LAYARI BERSAMA BAHTERA KELUARGA
HIDUP BAHAGIA NEGARA SEJAHTERA....

Lima sasterawan negara tolak PPSMI

Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi hari ini apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya.

Buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan, mereka melontarkan enam sebab penolakan dalam satu kenyataan bersama yang diedarkan pada sidang media di Rumah PENA pagi ini.

Alasan-alasan itu, antaranya:

bullet buttonKebanyakan pemenang Anugerah Nobel tidak datang dari negara pengguna bahasa Inggeris tetapi negara-negara seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol Switzerland, India dan Bangladesh.

bullet buttonKegagalan mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semua bidang menyebabkan pemimpin hari ini dirakam dalam sejarah sebagai "pemusnah bahasa Melayu yang telah lama menjadi lingua franca".

bullet buttonPenggunaan bahasa Inggeris untuk bidang terpilih dengan sendirinya menciptakan dua jenis kewarganegaraan.

Pertama, warganegara yang menguasai bahasa Inggeris dan sains teknologi dan kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai sastera dan sains sosial - bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya. [Baca teks penuh di sini]

Buang gelaran rasmi

Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh sasterawan yang hadir - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".

"Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," kata A Samad.

muhammad haji sallehSementara Muhammad (foto kiri) pula berkata: "Kalau diperlukan saya akan sampai ke sini juga, ditempat yang diperlukan. Saya merasakan tragedi ini bukan tragedi orang lain, tetapi tragedi (kepada) saya."

"Dan tidak pernah berlaku kepada bahasa besar lain seperti yang berlaku kepada bahasa kita. Tidak berani orang sentuh bahasa Perancis misalnya.

"Cuba sentuh bahasa Inggeris, bahasa Scotland misalnya, apa akan berlaku?" soalnya.

"Dalam satu dunia tamadun, menteri tak ada hak menukar bahasa. Hanya bangsa itu sahaja berkumpulan mempunyai hak menukar bahasa itu. Orang lain tidak ada hak menukar bahasa itu."

Surat kepada PM

Muhammad juga menafikan dakwaan beliau lambat tampil memperjuangkan pemansuhan PPSMI, berbeza dengan A Samad sebelum ini yang lebih ke depan.

"Pertamanya, kalau tidak di depan televisyen atau suratkhabar, saya ini tidak berapa terpilih. Tetapi hal ini telah kita kerjakan dari awal lagi.

"Saya pernah siapkan surat kepada (bekas perdana menteri) Tun Abdullah (Ahmad Badawi), kejar beliau di Putrajaya, beri surat itu.

"Tidak ada apa-apa (tindakan). Sewaktu saya di Tokyo, (saya) faks dari Tokyo. Lepas itu, macam-macam (tindakan) yang dikerjakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menurut jejak A Samad untuk berkempen di pentas politik dan pada pilihanraya kecil demi memperjuangkan pemansuhan PPSMI, Muhammad berkata:

"Boleh kempen, tetapi saya bukan orang politik. Intelektual juga ada tempatnya. Biarlah kita profesional. Yang pandai berpolitik itu, silakan," katanya, seorang penulis terkenal dengan esei budaya.

Tiga lagi sasterawan negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain - tidak hadir kerana masalah kesihatan.

Akan terus lawan

a samad saidA Samad (foto kanan) menambah, kesemua sasterawan negara "akan terus berlawan" memperjuangkan pemansuhan PPSMI melalui cara masing-masing.

"Kita tidak boleh harap semua sasterawan negara membuat kerja yang sama. Tujuan dan matlamat sama, tetapi caranya lain.

"Ahli politik ini ada usia luputnya. Kuasawan ada tarikh luputnya. Sasterawan, kerana tidak ada tarikh luputnya, dia akan terus berlawan," kata pengarang itu yang terkenal dengan novel Salina.

Sementara itu, mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, A Samad memberi amaran supaya ahli politik harus bersedia menghadapi "perlawanan" yang lebih hebat "jika tidak bersedia tunduk" pada desakan membatalkan PPSMI.

"Dan kalau ada yang bertanya saya, apakah akan dilakukan kalau kuasawan (ahli politik) ini tidak bersedia untuk untuk tunduk, (maka) perlawanan ini akan diteruskan dari belbagai sudut.

"Ertinya kuasawan harus bersedia menghadapi itu. Kita akan merakyatkan betul-betul (isu PPSMI), bahawa mereka ini akan hilang bahasa, mereka akan hilang jati diri."

Muhammad pula berkata, ruang perbincangan dengan menteri terbabit masih terbuka. Bagaimanapun keputusan yang dibuat hendaklah melibatkan kehendak rakyat terbanyak.

Pertikai meja bulat

anti ppsmi group pc 050509Muhyiddin semalam berkata kajian badan bebas mendapat hasil berlainan dengan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya kerana pesertanya tidak bercakap berdasarkan fakta dan bukti.

Mengulas kenyataan menteri itu, Muhammad mempertikaikan kesimpulan yang dibuat oleh kementerian tidak sama dengan butiran perbincangan meja bulat.

"Waktu saya menghadirinya, hampir 80 peratus tak bersetuju menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang Sains dan Matematik. Tetapi akhirnya disimpulkan bahawa orang bersetuju.

"Saya masih ingat, yang bersetuju (ketika) itu hanyalah pegawai bank yang tidak tahu bercakap bahasa kebangsaan dan seorang lagi ibu kepada anak yang sedang bersekolah.

"Yang lain semua tidak bersetuju. (Wakil masyarakat) India dan Cina pun semua tidak bersetuju. Jadi, macam mana kesimpulan (boleh) jadi begini?" katanya.

Kejutkan dunia sastera

ppsmi march 070309 crowd.jpgAwal Mac lalu, A Samad mengejutkan dunia sastera tanah air dan nasionalis bahasa apabila menerajui ribuan penunjuk perasaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum membantah dasar tersebut.

Sejak 1981, Malaysia menganugerahkan gelaran berprestij ini kepada sembilan tokoh sastera dan kreatif negara, terbaru Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali S Othman Kelantan pada 2003.

Negara kini sedang menyaring senarai tokoh untuk dicalonkan sebagai sasterawan negara ke-10.

Empat yang telah meninggal dunia: Kamaluddin Muhamad (popular dengan nama pena Keris Mas), Datuk Usman Awang, Muhammad Dahlan Abdul Biang (Arena Wati) dan Syed Othman.

Semuanya aktif dalam dunia sastera kecuali Noordin yang dikenali sebagai penggiat teater tersohor.

Promosi bahasa Melayu melalui Internet

Satu pusat maklumat mengenai bahasa Melayu dan peradabannya perlu diwujudkan menggunakan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi mengembangkan bahasa itu sebagai bahasa dunia.

Perkara tersebut dicadangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Asiah Md. Ariff.

Beliau berkata, pusat berkenaan boleh memainkan peranan dengan mempromosikan bahasa Melayu melalui Internet yang boleh diakses dengan mudah dari seluruh dunia.

"Kewujudan pelbagai laman web, portal dan blog membuktikan keupayaan dan keberadaan bahasa Melayu dalam perkembangan teknologi multimedia dan komunikasi.

"Namun usaha harus ditingkatkan bagi mencetuskan minat masyarakat dunia untuk menjelajah dunia dan peradaban Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Asiah berkata, walaupun peranan itu sebahagiannya dimainkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun pusat tersebut akan meningkat dan menyebarluaskan peranan itu tanpa sempadan.

Menurutnya, setakat ini terdapat laman web belajar bahasa Melayu seperti Mari Belajar Bahasa Melayu, Bahasa Melayu untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), laman Wikipedia Melayu dan sebagainya.

"Perkembangan ini membuktikan bahasa Melayu mampu ditingkatkan upayanya sebagai sumber akses maklumat bukan saja tentang dunia dan peradaban Melayu tetapi juga dalam bidang lain," katanya.

Menurutnya, penggunaan Internet tidak dapat dielakkan kerana dunia hari ini memasuki era informasi yang dipengaruhi kuat oleh ICT.

Justeru, bahasa Melayu boleh diupaya dan disebarluaskan penggunaannya menggunakan dalam talian walaupun pada masa sama bahasa Inggeris jauh meninggalkan bahasa lain.

Sementara itu, kerajaan komited melihat bahasa Melayu terus berkembang, berfungsi dan berpengaruh menangani tuntutan komunikasi global, memimpin kemajuan negara dan peradaban bangsa.

Asiah berkata, kerajaan negeri berpendapat persidangan seperti itu perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi memartabatkan bahasa Melayu.

"Meskipun sesekali gelombang melanda sehingga mencetuskan kontroversi namun anggaplah ia cabaran perjuangan," katanya.