CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Selasa, 6 Oktober 2009

Dasar martabat BM, perkukuh BI

Rangka pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) kini hampir siap, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kerajaan akan mengumumkan dasar tersebut tidak lama lagi bertujuan mengukuhkan penguasaan kedua-dua bahasa itu.

''Kita berharap dengan usaha baru ini (MBMMBI), maka sistem pendidikan kebangsaan akan menjadi lebih menarik dan lebih kukuh.

''Ia juga berupaya untuk meningkatkan penguasaan dalam semua ilmu tidak terkecuali untuk kita mempertingkatkan kecekapan dalam bahasa Inggeris di samping mengukuhkan dan memartabatkan bahasa Malaysia," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, dasar MBMMBI seiring dengan matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang menjadikan usaha memartabatkan bahasa Malaysia sebagai teras pertama program membina negara bangsa.

Pada satu soalan mengenai usaha menarik semua kaum menghantar anak ke sekolah kebangsaan (SK), beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar kerajaan adalah mengutamakan sekolah tersebut.

Bagaimanapun, jelasnya, sekolah jenis kebangsaan (SJK) tidak dipinggirkan kerana ia terbentuk hasil toleransi semua kaum.

''Apa pun sistem kebangsaan kita adalah sekolah yang menggunakan bahasa pengantarnya bahasa Malaysia. Jadi, kita telah melaksanakan beberapa dasar pelajaran kebangsaan dan dasar bahasa kebangsaan kita," ujarnya.

0 ulasan: